Wednesday, August 10, 2011

Engkau @ kelapa Tua lebih Cantik...????


Semua orang kenal kelapa tua. Tahu pula gunanya kelapa tua itu. Sangat penting dan sangat berguna kelapa tua ini dalam hidup manusia.
Namun begitu, kewujudannya tidak dipeduli dan tidak diendahkan orang. Kelapa tua tidak pernah menjadi topik perbincangan. Tidak pernah dikaitkan dengan apa-apa isu atau masalah. Kalaulah kelapa tua ini mempunyai emosi, tidak ramai orang yang akan dapat merasakan dan menyelami perasaannya. Itulah kelapa tua.
Kelapa tua pula tidak pernah susah hati kalau orang tidak mempedulikannya. Dia hanya tergantung di atas pokok dan terbuai-buai bila ditiup angin.
Tapi, lazimnya elok-elok kelapa tua itu tergantung di atas pokoknya sambil menikmati keindahan alam buana ini dari kedudukannya yang tinggi itu, datanglah orang menjoloknya dengan galah yang panjang. Tidak sabar menunggu kelapa tua itu jatuh sendiri. Bukannya selesa kena jolok-jolok macam tu.
Bila tangkainya sudah lemah setelah dijolok beberapa kali, maka gugurlah kelapa tua itu berpusing-pusing ke bumi. Gugur itu pula bukannya rendah. Bukan setakat lima atau sepuluh kaki tapi sampai empat puluh hingga lima puluh kaki. Bunyinya berdentum sampai ke tanah.Waduh! Kalau calang-calang buah, boleh berkecai. Kalau kepala orang, boleh bersepai otak!
Masalah kelapa tua ini tidak terhenti di situ sahaja. Ini baru muqaddimahnya. Dia dikutip dan kulit sabutnya dikoyak-koyak dan dibuang sedikit demi sedikit dengan parang cangkuk. Proses ini bukan sekadar sekali tetak. Berpuluh-puluh kali parang cangkuk itu menusuk ke dalam kulit sabutnya.Seksanya tak boleh nak cerita. Mula-mula sakit tusukan. Lepas itu sakit dikoyak dan disiat-siat. Ini berterusan sampai tempurung sahaja yang tinggal.
Bila dah sampai ke tempurung, maka tak apalah. Cantik juga rupanya. Keras dan bulat. Tetapi manusia bukan tahu hendak menilai seni yang seperti ini. Tempurung bulat yang cantik itu ditetak pula dengan parang dengan sebegitu kuat hingga terbelah dua di tengah-tengahnya. Maka tersembur dan mengalirlah air jernih dari dalam perutnya dan terdedahlah isinya yang putih bersih.
Bagi kebanyakan kehidupan yang lain, kalau sudah sampai ke tahap ini, maka selesailah riwayat hidupnya. Tetapi bagi kelapa tua, ini baru permulaan. Banyak lagi seksaan yang menanti.
Tak cukup dengan menyemburkan air dari dalam perutnya dan mendedahkan isinya, isinya yang putih bersih itu dipisahkan dari tempurung, diparut dan dikukur pula hingga menjadi lumat. Tempurungnya dibuang. Kadang-kadang di bakar. Bentuk asal kelapa tua sudah tidak ada lagi. Yang tinggal hanyalah isinya yang sudah lumat dikukur dan diparut.
Untuk menambah seksanya lagi, dituang pula air ke dalam isi parut itu, diramas-ramas dan diperah-perah. Alangkah seksanya. Kalau hendak dikirakan, ini sudah terkeluar dari batas-batas perikemanusiaan. Kemudian ia ditapis menjadi santan.Kelapa tua yang dulunya keras dan bulat kini sudah menjadi cecair yang putih.
Setelah itu, minyak dipanaskan dalam belanga. Bawang merah, rempah dan rencah-rencah yang lain ditumis. Bila sudah cukup kuning dituanglah santan tadi ke dalam belanga. Maka berpanasanlah santan itu hingga terkeluar minyaknya. Apabila sudah masak dan bau harumnya merebak keseluruh ceruk rumah, maka orang pun bertanya:
"Gulai apa tu? Sedap sangat baunya?"
Orang di dapur hanya menjawab, "Gulai ikan bawal."
Gulai dapat nama. Ikan bawal dapat nama.
Orang kata, "Oh! Sedap gulai ni.""Oh! Sedap ikan bawal ni."
Jasa kelapa tua tenggelam begitu sahaja. Perjalanan dan pengalamannya yang begitu panjang dan menyeksakan dari sebiji kelapa tua di atas pokok yang tinggi hingga ke belanga yang panas berbahang, tidak ada siapa yang ambil kira atau ambil peduli. Alangkah indahnya kalau kita dapat berjasa seperti kelapa tua ini. Jasa-jasa bukan untuk dipuji dan dipuja. Bukan untuk dikenang atau untuk mendapat nama, tapi untuk Tuhan. Biarlah jasa-jasa kita tidak nampak di mata orang, tapi ada dalam perhatian Tuhan!

susu terbaik selepas ibu punyer............


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang . Segala puji bagi Allah , Tuhan Sekalian Alam. Yang memerintah hari pembalasan(akhirat). Engkau tuhan yang ku sembah dan tuhan tempat aku mohon pertolongan. Tunjukkan aku jalan yang lurus. Jalan yang telah engkau berikan kepada mereka (orang-orang yang beriman dan beramal soleh) . Dan bukan jalan orang-orang yang sesat (Kristian) dan jalan orang-orang yang engkau murkai (yahudi)... Amin
Assalamua'laikum.
Kepada para sahabatku sekelian, pada kesempatan ini ingin saya kongsikan sesuatu perkara yang mungkin sudah ramai yang telah mengetahuinya dan mungkin ada juga belum mengetahuinya iaitu khasiat susu kambing – satu sunnah yang semakin dilupakan.
Sabda Rasullah s.a.w, " Tidak ada seorang nabi pun yang tidak terkecuali terlibat di dalam pengembalaan kambing". Kemudian bertanya sabahat, apakah tuan juga pengembala kambing? jawab Rasullah, "Ya.saya juga pengembala kambing untuk penduduk Mekah"
Kenapakah kambing menjadi pilihan Allah untuk disebut didalam Al-quran. Ini adalah kerana,kesukaran mengembala kambing agar sentiasa duduk di dalam jemaah merupakan satu ujian Allah untuk melatih para nabi tentang erti kesabaran. Seperti yang anda semua tahu menternak kambing bukanlah mudah dan perlukan kesabaran yang tinggi. Oleh itu, jika seorang nabi yang bakal menjadi nabi lulus dalam ujian berkenaan, maka Baginda mampu untuk mendidik umatnya yang mempunyai pelbagai ragam.
Jika kita lihat, susu kambing sememangnya mempunyai pelbagai keistimewaan. Ia mempunyai enzim-enzim yang penting untuk manusia serta mengandungi pelbagai jenis vitamin, protein yang boleh menjadi ubat bagi penyakit-penyakit seperti allergik, radang sendi dan lain-lain malah, ia juga amat sesuai untuk diamalkan oleh warga emas. Disamping itu, susu kambing juga begitu khasiat kepada bayi yang terkena penyakit kuning dan dapat mempercepatkan proses penyembuhan dengan izin Allah.
Bagi penghidap penyakit insomnia (susah tidur malam) pula,amalan meminum segelas susu kambing panas sebelum tidur merupakan amalan Rasulullah yang menyebabkan nabi mudah tidur dan mudah juga berjaga untuk bersembahyang malam. 
Sabda Rasullah s.a.w, "Peliharalah kambing kerana padanya terdapat keberkatan". Menurut fakta sainstifik, susu kambing mempunyai khasiat yang dapat memanaskan tubuh badan. Apabila seorang kanak-kanak itu meminumnya, badannya akan menjadi suam dan toksik-toksik di dalam badannya akan keluar bersama air besar dan akan menyebabkan kanak-kanak berkenaan membesar dengan sihat.
Pada asasnya, susu berperanan memberi kekuatan tubuh badan kepada bayi dan dapat meningkat daya IQ seorang bayi. Ini adalah kerana ketika bayi berada di dalam tempoh penyusuan, otak dan minda bayi sedang berkembang dengan pesat . Ketika itulah bayi dikatakan sangat memerlukan protein dan badannya memerlukan antibodi yang banyak.
Pakar- pakar pemakanan sedunia telah bersetuju bahawa komposisi susu ibu dengan susu kambing hampir sama antara kedua-duanya. Susu kambing mengandungi 3.1% lemaknya, sama dengan peratus lemak susu ibu.  Dari segi protein nya pula susu kambing mengandungi 3.7% dan peratusan ini juga sama dengan peratusan protein yang dapat di estrak daripada susu ibu. Kerana itulah, pada zaman Nabi S.A.W, susu kambing menjadi alternatif kepada ibu ketika mana ibu tidak dapat menyusukan anak atas sebab-sebab yang tidak boleh dielakkan. Sebab itulah, amalan meminum susu kambing ini amatlah digalakkan kerana ia mempunyai hikmah yang cukup besar dan berpontesi melahirkan anak yang SUPER (yang hebat, cerdik ,cerdas, dan IQ yang tinggi). Pada zaman ini, amalan ini sudah kurang kita lakukan sebabnya kita semakin jauh meninggalkan sunnah ini.
Bagi orang dewasa, manfaat susu kambing adalah amat banyak untuk dirungkaikan. Antaranya susu kambing ini bersifat pelawas dan amat berguna untuk memudahkan proses penghadaman , ia juga dapat merawat penyakit sembelit dengan segera.
Menurut "Kitabul-alttaimah" menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Iman Muslim, telah disebut secara jelas bahawa minuman yang paling disukai oleh Nabi Muhammad s.a.w ialah susu kambing dan menjadi sunnah bagi kita yang mencintai Rasullah s.a.w menjadikan amalan meminum susu kambing sebagai minuman harian kita yang sihat lagi berpahala (kerana mengikut sunnah).
Dalam hadis lain, Nabi Muhammad S.A W bersabda bahawa "Hendaklah kamu berpegang kepada kambing (mengambil manfaat daripada kambing: iaitu daging, bulu, kulit dan susunya) kerana itu ialah kenderaan mu didalam syurga". Dalam sepotong hadis yang lain ada menyatakan Nabi Muhammad s.a.w sangat suka meminum susu kambing yang mentah (belum dimasak).
Dalam al-quran ada disebut "Dif'un Mamanafiq" yang bermaksud memanaskan. Sebab itulah molekul-molekul susu kambing ini tidak akan hilang walaupun kita menyejukkannya kerana ia mengandungi kalori yang tinggi. Apabila kalorinya tinggi, ia dapat membekalkan tenaga yang banyak kepada badan serta memanaskan darah. Sebab itulah Nabi s.a.w sangat suka meminum susu kambing kerana Baginda tahu akan kelebihannya.
Disamping itu, susu kambing juga membekalkan kekuatan tenaga batin kepada kaum lelaki dan kaum perempuan. Mungkin ini dapat menyelesaikan masalah mereka yang belum mempunyai anak atau bagi mereka yang berhasrat untuk meramaikan lagi bilangan anak. InsyaAllah dengan mengamalkan amalan meminum susu kambing, kita akan peroleh kesejahteraan, selain melahirkan zuriat-zuriat yang baik , cerdik dan pintar.
Jika sesuatu itu merupakan sunnah Nabi, pasti ada hikmat disebaliknya, seperti digambarkan bahawa, Nabi tidak bercakap mengikut hawa nafsu nya tetapi baginda sentiasa melakukan sesuatu berlandaskan kepada wahyu allah semata-mata.
Itulah keindahan Islam. Cuma sekadar susu kambing yang biasa namun mempunyai banyak manfaat dan kebaikan yang dapat diperolehi daripadanya, itulah kuasa Allah s.w.t, Yang Maha menjadikan sesuatu penuh dengan hikmah dan tidak pernah terlintas di akal fikiran. Wallahualam.

Dia sebaYA aDik Ku...............


Hari itu selepas seminggu beraya dikampung, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk,saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar disebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul dihadapan.

"Abang nak beli kuih?" katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaanya.

“Tak apalah dik... Abang dah pesan makanan," jawap saya ringkas.

Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.

"Abang dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya.

"Abang baru lepas makan dik. Masih kenyang lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut.

Dia beredar, tapi cuma setakat dikaki lima. Sampai disitu, di meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya, "Tak nak beli kuih saya bang, pak cik, kakak atau makcik?"

Molek budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalng dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan dihati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.

Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar bekereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu, membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumannya. Saya lihat umurnya lebih kurang 12 tahun.

"Abang dah kenyang, tapi mungkin Abang perlukan kuih saya untuk adik-adik Abang, ibu atau ayah Abang" katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.

Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul persaan kesian dihati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.

"Ambil ni dik! Abang sedekah. Tak payah abang beli kuih tu," saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya.

Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.

"Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya.

"Kenapa adik berikan duit Abang tadi pada pengemis tu? Duit tu Abang bagi adik!" kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.

"Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar.

Saya sebak, sekaligus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.

"Abang nak beli semua ke?" dia betanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.

"RM25 saja bang."

Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya kedalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.

Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan.Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirknya? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan.

Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!


Kerana Aku Lelaki............


Suatu ketika, ada seorang anak perempuan yang bertanya kepada ayahnya, tatkala tanpa sengaja dia melihat ayahnya sedang mengusap wajahnya yang mulai berkerut-merut dengan badannya yang terbongkok-bongkok, disertai suara batuk-batuknya.

Anak perempuan itu bertanya pada ayahnya : "Ayah, mengapa wajah ayah kian berkerut-merut dengan badan ayah yang kian hari kian membongkok ?"

Demikian pertanyaannya, ketika ayahnya sedang berehat di beranda.

Si ayah menjawab : "Sebab aku lelaki."

Anak perempuan itu berkata sendirian : "Saya tidak mengerti".

Dengan kerut-kening kerana jawapan ayahnya membuatnya termenung rasa kebingungan.

Ayah hanya tersenyum, lalu dibelainya rambut anaknya itu, terus menepuk-nepuk bahunya, kemudian si ayah mengatakan : "Anakku, kamu memang belum mengerti tentang lelaki."

Demikian bisik Si ayah, yang membuat anaknya itu bertambah kebingungan.

Kerana perasaan ingin tahu, kemudian si anak itu mendapatkan ibunya lalu bertanya kepada ibunya : "Ibu, mengapa wajah Ayah jadi berkerut-merut dan badannya kian hari kian membongkok? Dan sepertinya ayah menjadi demikian tanpa ada keluhan dan rasa sakit ?"

Ibunya menjawab : "Anakku, jika seorang lelaki yang benar-benar bertanggungjawab terhadap keluarga itu memang akan demikian."

Hanya itu jawapan si ibu. Si anak itupun kemudian membesar dan menjadi dewasa, tetapi dia tetap juga masih tercari-cari jawapan, mengapa wajah ayahnya yang tampan menjadi berkerut-merut dan badannya menjadi membongkok?

Hingga pada suatu malam, dia bermimpi. Di dalam impian itu seolah- olah dia mendengar suara yang sangat lembut, namun jelas sekali. Dan kata-kata yang terdengar dengan jelas itu ternyata suatu rangkaian kalimah sebagai jawapan rasa kebingungannya selama ini.

"Saat Ku-ciptakan lelaki, aku membuatnya sebagai pemimpin keluarga serta sebagai tiang penyangga dari bangunan keluarga, dia senantiasa akan berusaha untuk menahan setiap hujungnya, agar keluarganya merasa aman, teduh dan terlindung."

"Ku ciptakan bahunya yang kuat dan berotot untuk membanting- tulang menghidupi seluruh keluarganya dan kegagahannya harus cukup kuat pula untuk melindungi seluruh keluarganya."

"Ku berikan kemahuan padanya agar selalu berusaha mencari sesuap nasi yang berasal dari titisan keringatnya sendiri yang halal dan bersih, agar keluarganya tidak terlantar, walaupun seringkali dia mendapat cercaan dari anak-anaknya".

"Ku berikan keperkasaan dan mental baja yang akan membuat dirinya pantang menyerah, demi keluarganya dia merelakan kulitnya tersengat panasnya matahari, demi keluarganya dia merelakan badannya berbasah kuyup kedinginan dan kesejukan kerana tersiram hujan dan dihembus angin, dia relakan tenaga perkasanya dicurahkan demi keluarganya, dan yang selalu dia ingat, adalah disaat semua orang menanti kedatangannya dengan mengharapkan hasil dari jerih- payahnya."

"Kuberikan kesabaran, ketekunan serta kesungguhan yang akan membuat dirinya selalu berusaha merawat dan membimbing keluarganya tanpa adanya keluh kesah, walaupun disetiap perjalanan hidupnya keletihan dan kesakitan kerapkali menyerangnya".

"Ku berikan perasaan cekal dan gigih untuk berusaha berjuang demi mencintai dan mengasihi keluarganya, didalam suasana dan situasi apapun juga, walaupun tidaklah jarang anak-anaknya melukai perasaannya, melukai hatinya.

Padahal perasaannya itu pula yang telah memberikan perlindungan rasa aman pada saat dimana anak-anaknya tertidur lelap. Serta sentuhan perasaannya itulah yang memberikan kenyamanan bila saat dia sedang menepuk-nepuk bahu anak-anaknya agar selalu saling menyayangi dan saling mengasihi sesama saudara."

"Ku berikan kebijaksanaan dan kemampuan padanya untuk memberikan pengertian dan kesedaran terhadap anak-anaknya tentang saat kini dan saat mendatang, walaupun seringkali ditentang bahkan dikotak-katikkan oleh anak-anaknya."

"Ku berikan kebijaksanaan dan kemampuan padanya untuk memberikan pengetahuan dan menyedarkan, bahawa isteri yang baik adalah isteri yang setia terhadap suaminya, isteri yang baik adalah isteri yang senantiasa menemani, dan bersama-sama menghadapi perjalanan hidup baik suka mahupun duka, walaupun seringkali kebijaksanaannya itu akan menguji setiap kesetiaan yang diberikan kepada isteri, agar tetap berdiri, bertahan, sepadan dan saling melengkapi serta saling menyayangi."

"Ku berikan kerutan diwajahnya agar menjadi bukti, bahawa lelaki itu senantiasa berusaha sekuat daya fikirnya untuk mencari dan menemukan cara agar keluarganya dapat hidup didalam keluarga bahagia dan badannya yang terbongkok agar dapat membuktikan, bahawa sebagai lelaki yang bertanggungjawab terhadap seluruh keluarganya, senantiasa berusaha mencurahkan sekuat tenaga serta segenap perasaannya, kekuatannya, kesungguhannya demi kelanjutan hidup keluarganya."

"Ku berikan kepada lelaki tanggungjawab penuh sebagai pemimpin keluarga, sebagai tiang penyangga ( seri / penyokong ), agar dapat dipergunakan dengan sebaik-baiknya. Dan hanya inilah kelebihan yang dimiliki oleh lelaki, walaupun sebenarnya tanggungjawab ini adalah amanah di dunia dan akhirat."

Terkejut si anak dari tidurnya dan segera dia berlari, berlutut dan berdoa hingga menjelang subuh. Setelah itu dia hampiri bilik ayahnya yang sedang berdoa, ketika ayahnya berdiri si anak itu menggenggam dan mencium telapak tangan ayahnya.

"Aku mendengar dan merasakan bebanmu, ayah."


Moral:
seburuk mana pun dia.....dia tetap ayah kita...................
Bila ayah masih hidup jangan sia-siakan kesempatan untuk membuat hatinya gembira. Bila ayah telah tiada, jangan putuskan tali siratulrahim yang telah dirintisnya dan doakanlah agar Tuhan selalu menjaganya dengan sebaik-baiknya. Jangan pernah malu untuk mengatakan sayang kepada ayah....