Friday, February 11, 2011

SAMBUTAN HARI KEKASIH MEROSAKKAN AKIDAH

Akhir-akhir ini budaya dan adab Melayu yang tersemat sejak sekian lama kian pudar dan terhakis. Tambah memilukan ialah adab Melayu yang kian terhakis tersebut adalah nilai murni yang terhasil daripada ajaran Islam yang suci. Apabila orang Melayu sudah melupai nilai dan ajaran Islam, maka sudah tentu segala kemuliaan bangsa akan lenyap dan hancur. Begitulah keadaannya dengan masyarakat Arab sebelum Islam, mereka dikenali sebagai masyarakat Jahiliyyah yang diselubungi dengan kehinaan. Apabila mereka menerima segala ajaran Islam, maka bangsa Arab dimuliakan Allah.

Namun, apabila mereka kembali melupai ajaran Islam untuk dipraktikkan dalam kehidupan, maka mereka kembali ditimpa dengan pelbagai kehinaan. Benarlah sebagaimana ucapan Saidina Umar al-Khattab yang menyatakan: “Kita adalah suatu bangsa dan golongan yang telah dimuliakan Allah apabila kita berpegang dengan ajaran Islam, akan tetapi sekiranya kita mencari kemuliaan dengan selain daripada Islam, sudah tentu Allah akan menimpakan kepada kita kehinaan!”.

Antara pencemaran agama dan budaya pada bulan Februari ini ialah sambutan Hari Kekasih atau dikenali sebagai Valentine’s Day. Sambutan Valentine’s Day ini kononnya adalah untuk menyemarakkan hubungan kasih sayang sesama manusia, lalu masyarakat Melayu tidak terkecuali begitu bersungguh-sungguh membuat persediaan untuk menyambut Hari Kekasih ini yang jatuh pada tanggal 14 Februari pada setiap tahun. Terdapat pasangan yang ingin berkahwin pula sengaja memilih tarikh 14 Februari yang dianggap tarikh ‘keramat’ ini untuk melangsungkan perkahwinan dengan harapan perkahwinan tersebut akan memperoleh ‘keberkatan’.

Budaya menyambut Hari Kekasih ini semakin popular dari semasa ke semasa. Anak-anak muda yang baru mencecah usia baligh pun sudah tahu apa itu Valentine, sedangkan pada masa yang sama mereka masih terpinga-pinga apabila ditanya tentang tarikh kelahiran Rasulullah s.a.w. Apabila menjelangnya bulan Februari, didapati iklan-iklan tentang sambutan Valentine's Day ini boleh didapati dimana-mana, yang sekaligus menyemarakkan jiwa remaja untuk menyambutnya. Media arus perdana juga tidak ketinggalan dalam menghidangkan promosi secara besar-besaran melalui iklan dan tayangan filem yang berkisar tentang perayaan ini.
 Sebagai umat Islam, kita wajib mempersoalkan apakah Valentine's Day ini suatu bentuk perayaan yang boleh disambut atau pun tidak?. Umat Islam sewajarnya mengetahui bahawa beramal dan mengikut budaya dan agama selain daripada Islam, terutamanya di dalam meraikan hari-hari tertentu tanpa mengetahui latar belakang perayaan tersebut, sebenarnya akan menjerumuskan umat Islam kepada kehancuran. Ini kerana perkara-perkara seperti ini bukan sahaja menjejaskan akhlak orang Islam, malahan boleh menjejaskan keimanan dan akidah mereka.

Mengikut sejarah, Valentine atau nama sebenarnya St. Valentino merupakan seorang paderi paling berpengaruh di zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol. Kedudukannya dikatakan di tempat kedua selepas Paderi besar Pope. Ada beberapa versi yang mengaitkan paderi St. Valentino ini dengan sambutan Valentine's Day. Versi pertama ialah dia merupakan orang terpenting yang berperanan menumpaskan kerajaan Islam Cordova, Sepanyol. Jasanya itu dianggap sesuatu yang tidak boleh dilupakan dan sangat bermakna. Sehubungan dengan itu, tanggal 14 Februari ditetapkan sebagai cuti umum untuk merayakan kemenangan tersebut pada setiap tahun, sekaligus dapat mengenang jasa St. Valentino itu.

Menurut versi kedua pula, St. Valentino sebelum kejayaannya menumpaskan kerajaan Islam Sepanyol, dikatakan mempunyai dua orang kekasih. Kekasih pertama dikatakan beragama Islam, manakala yang kedua beragama Kristian berfahaman Protestan. Oleh kerana berlainan agama, St. Valentino terpaksa melupakan kekasih pertama dan menumpukan perhatian kepada kekasih kedua. Apabila beliau ditanya tentang bentuk ganjaran yang beliau inginkan berikutan kejayaannya mengalahkan umat Islam, St. Valentino terus menyatakan bahawa dia ingin berkahwin dengan kekasih keduanya itu. Perkara ini menimbulkan kegemparan di kalangan rakyat Cordova kerana Valentino merupakan paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengikut mazhab Protestan, apatah lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin.

Ratu Isabella murka dengan hasrat St. Valentino itu, lantas memerintahkan agar beliau dipenjarakan. Namun, baginda tetap mahu mengingati jasa paderinya itu dengan menetapkan tarikh 14 Februari sebagai 'Hari Mengingati Kekasih' yang ditujukan khas untuk memperingati St. Valentino.
BUDAYA BERSENTUHAN

Versi yang seterusnya menyatakan bahawa pada tanggal 14 Februari 270 M, St. Valentino dibunuh kerana penentangannya terhadap penguasa Rome pada waktu itu iaitu Raja Claudius II (268 - 270 M). Ekoran daripada itu, St Valentino telah dianggap sebagai simbol ketabahan dan keberanian dalam menghadapi cabaran hidup, lalu untuk mengagungkannya, para pengikutnya telah menjadikan tarikh memperingati kematian St. Valentine sebagai 'upacara keagamaan'.


Berdasarkan sejarah asal-usul sambutan Valentine's Day ini, mengapakah masih terdapat umat Islam yang masih menganggap bahawa Hari Valentine itu begitu istimewa? Mengapakah masih terdapat umat Islam yang hanya mengikut budaya Barat secara membuta tuli dan semberono sedangkan mereka mengetahui siapakah sebenarnya St. Valentino itu?! Nabi saw bersabda dalam sebuah hadis sahih yang bermaksud: 'Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia turut termasuk bersama golongan tersebut.' Diharap agar kesilapan lalu tidak diulangi lagi, lantas masyarakat Islam harus sedar agar tidak lagi terlibat dalam sambutan yang bercanggah dengan Islam ini!
(Artikel ini telah disiarkan di majalah Milenia Muslim keluaran Februari 2009)

Wednesday, February 9, 2011

MANUSIA-MANUSIA YANG TIDAK AKAN DAPAT MENCIUM BAU SYURGA


  1. Orang yang menderhaka kepada ibu bapa
  2. Orang yang mengaku bapa kepada bukan bapanya.
  3. Orang yang memutuskan hubungan keluarga
  4. Isteri yang meminta cerai daripada suami tanpa sebab.
  5. Wanita keluarvsecara bersolek.
  6. Orang tua yang berzina
  7. Lelaki memakai pakaian labuh bermegah.
  8. Orang yang belajar agama untuk dunia.
  9. peminum arak
  10. Orang yang mati dalam kesombongan.
  11. Orang yang mengungkit-ungkitkan amalan sedekah.
  12. Orang yang membunuh kafir Mu'aahid Dzimmi
  13. Pemimpin yang tidak menasihati rakyat.
  14. Pemimpin yang zalim atau dari kumpulan yang zalim.
  15. Orang tua yang mencelup hitamkan uban.
Itulah 15 golongan yang terhalang dari memperolah bau syurga..kerana setiap satunya dikira dosa besar..antara dosa besar itu..pelakunya tidak akan dapat menikmati bau syurga.

Tuesday, February 8, 2011

SEKSAAN WANITA NERAKA



Inilah sepuluh jenis siksaan yang menimpa wanita yang diperlihatkan kepada Nabi Muhammad SAW ketika melalui peristiwa Israk dan Mikraj, inilah peristiwa yang membuat Rasulullah menangis setiap kali mengenangkannya.

Dalam perjalanan itu, antaranya Rasulullah SAW diperlihatkan

 (1) perempuan yang digantung dengan rambutnya, sementara itu otak di kepalanya mendidih. Mereka adalah perempuan yang tidak mau melindungi rambutnya agar tidak dilihat lelaki lain.

Siksaan lain yang diperlihatkan Rasulullah SAW ialah 

(2) perempuan yang digantung dengan lidahnya dan
 (3) tangannya dikeluarkan dari punggungnya dan 
(4) minyak panas dituangkan ke dalam kerongkongnya.
 Mereka adalah perempuan yang suka menyakiti hati suami dengan kata-katanya.

Rasulullah SAW juga melihat bagaimana

 (5) perempuan digantung buah dadanya dari arah punggung dan air pohon zakum dituang ke dalam kerongkongnya. Mereka adalah perempuan yang menyusui anak orang lain tanpa keizinan suaminya.

Ada pula

 (6) perempuan diikat dua kakinya serta dua tangannya sampai ke ubun dan dibelit beberapa ular dan kala jengking. Mereka adalah perempuan yang mampu sholat dan berpuasa tetapi tidak mau mengerjakannya, tidak berwudhu dan tidak mau mandi junub. Mereka sering keluar rumah tanpa mendapat izin suaminya terlebih dulu dan tidak mandi yaitu tidak bersuci selepas habis haid dan nifas.

Selain itu, Rasulullah SAW melihat

 (7) perempuan yang makan daging tubuhnya sendiri sementara di bawahnya ada api yang menyala. Mereka adalah perempuan yang berhias untuk dilihat lelaki lain dan suka menceritakan aib orang lain.

Rasulullah SAW juga melihat

 (8) perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting neraka. Mereka adalah perempuan yang suka mencari perhatian orang lain agar melihat perhiasan dirinya.

Siksaan lain yang dilihat Rasulullah SAW ialah

 (9) perempuan yang kepalanya seperti kepala babi dan badannya pula seperti keledai. Mereka adalah perempuan yang suka mengadu domba dan sangat suka berdusta.

Ada pula perempuan yang Rasulullah SAW lihat

 (10) bentuk rupanya seperti anjing dan beberapa ekor ular serta kala jengking masuk ke dalam mulutnya dan keluar melalui duburnya. Mereka adalah perempuan yang suka marah kepada suaminya dan memfitnah orang lain.