Thursday, December 15, 2011

selekeh pakai tudung labuh kot...............



Selepas UPSR, saya di hantar ke sekolah agama oleh ibu bapa. Bukan atas kehendak sendiri. Saya juga tidak membantah. Hanya kerana sepupu perempuan saya turut belajar di situ, saya tidak keberatan.
Saya juga pernah menghadiri temuduga untuk memasuki Kospint yakni Imtiaz sekarang. Hampa kerana tidak terpilih.
Seperti yang umum maklum, belajar di sekolah agama menuntut pelajar perempuan memakai tudung labuh. Saya ketika itu masih belum faham kenapa perlu memakai tudung labuh.
Adakah tudung segi tiga masih belum menutup aurat?
Tetapi, soalan itu hanya berlegar di fikiran. Tidak pernah diluahkan dan tidak pernah dikaji.
Timbul rasa jengkel juga di hati, '"selekehlah pakai tudung labuh", "nampak gemuk", "tak smart langsung".
Oleh sebab itu, apabila diadakan aktiviti sukan atau apa-apa aktiviti di luar waktu persekolahan, saya akan menyarung tudung segi tiga biasa menggantikan tudung besar itu. Saya kurang rasa bersalah kerana senior juga begitu.
Tiada lagi tudung labuh apabila menghadiri latihan kawat pada waktu petang, atau latihan untuk hari sukan kerana tiada seorang pun guru yang menegur. Kalau ada pun, bukan saya yang ditegurnya. Saya rasa selamat untuk memakai tudung segi tiga.
Begitu juga apabila keluar dari asrama, selain daripada outing pada waktu persekolahan, terutama apabila bersiar-siar dengan keluarga atau kawan-kawan, saya tidak pernah sekalipun memakai tudung labuh sekolah apatah lagi mahu mempunyai koleksi tudung labuh yang lain. Sungguh waktu itu, tudung labuh bagi saya adalah kolot. Ketinggalan zaman.
Bermula dari tingkatan satu hinggalah tingkatan tiga, tiada input yang saya dapati sama ada dalam waktu persekolahan atau selepas waktu persekolahan berkenaan kebaikan memakai tudung labuh. Tiada sesiapa pun yang menceritakan kepada kami mengapa para pelajar perempuan di sekolah ni diwajibkan pakai tudung labuh.
Yang ada hanya guru yang menyindir kami dengan kata-kata:
"Korang ni bila kaki dah langkah luar pagar sekolah, tudung labuh entah ke mana, baju ketat, seluar ketat, tudung kecik". Saya hanya mencebik. Apa salahnya tudung kecil!
Di mata saya tudung labuh hanya dipakai oleh ustazah. Tetapi, pemikiran itu berubah sedikit apabila guru Sains saya memakai tudung labuh juga. Tetapi, saya malas memikirkan tentang perihal tudung labuh ini.
"Yang penting aku dah tutup aurat sepenuhnya, ok lah".
Meskipun spotcheck tudung selalu dilakukan, kami tidak pernah serik. Undang-undang sekolah kami tidaklah seketat sekolah agama yang gah dan hebat yang lain. Tudung pelajar perempuan tidak boleh atas daripada paras siku.
Peraturan ini boleh diterima lagi kerana ada sekolah yang mewajibkan tudung pelajarnya mesti bawah pergelangan tangan. Tetapi, para pelajar yang "rimas" telah dididik oleh para seniorsupaya memendekkan tudung dalam erti kata yang lain, tudung yang labuh diubah suai agar ianya atas daripada siku.
Bagi kami, tudung sebegini nampak lebih kemas. Stok tudung labuh tetap ada untuk kecemasan yakni spotcheck. Hanya dipakai apabila tersebar khabar angin bahawa pagi itu akan dilakukan spotcheck.

Usai keputusan PMR diumumkan, saya mendapat tawaran ke sebuah MRSM di pantai timur. Alhamdulillah. Bolehlah keluar dari kongkongan sekolah agama ni. Mimpi saya ialah peraturan akan lebih longgar, pelajar boleh pakai apa-apa sahaja yang disukai, ber'couple' tidak akan jadi halangan, pendek kata moden.
Tetapi, impian itu bertukar 180 darjah. Kami diwajibkan solat Subuh, maghrib dan Isyak secara berjemaah, diwajibkan memakai stoking apabila keluar dari asrama, dilarang ber'couple', tidak boleh memakai scarf kepala yang menutup hanya separuh, track suit yang mencekik di bahagian bawah dilarang sama sekali, handsock diwajibkan.
Tambahan lagi, di dalam kelas pelajar perempuan mestilah duduk belakang pelajar lelaki menyerupai saf dalam solat, tudung yang jarang akan dihukum, tudung yang tidak melebihi bahu akan di denda, seakan-akan peraturan bertambah ketat berbanding sekolah agama saya dahulu.
Dan tentunya peraturan ini sebenarnya telah termaktub sebagai perintah Allah S.W.T sendiri. Cuma tidak diperincikan sahaja. Allah S.W.T menyuruh kita menutup seluruh anggota badan kecuali tangan dan muka. Maknanya, kaki juga aurat wahai diri. Peraturan ini dianggap mengongkong bagi pelajar yang jiwanya masih terbelenggu dengan dosa termasuk saya.

Tetapi, Alhamdulillah jauh di sudut hati saya, saya mengagumi peraturan ini. Seolah-olah Allah S.W.T  ingin menjaga kami para pelajar wanita daripada terjerumus dalam dosa. Allah S.W.T  ingin menjaga kami daripada pandangan jahat lelaki berhati kotor. Allah S.W.T  ingin mendidik kami ke arah lebih solehah.
Bermulanya detik saya mengenali Allah S.W.T lebih dekat. Majlis-majlis ilmu yang dihadiri mula membuka hati saya yang tepu dengan dosa. Selain itu, ada beberapa senior yang bertudung labuh yang membuatkan hati saya terdetik:
"Kenapa mereka memilih pakai tudung labuh sedangkan MRSM tidak mewajibkan pelajarnya bertudung labuh".
Kagum. Mereka satu dalam sejuta. Permata di celahan kaca.
Satu kejutan apabila melihat seorang sahabat yang baru dikenali ketika orientasi yang pada awalnya bertudung segi tiga secara drastik bertukar kepada tudung labuh. Lalu, saya bertanya mengapa. Beliau dahulu bersekolah agama, ceritanya lebih kurang seperti saya.
Katanya, hatinya terdetik untuk berubah apabila menghadiri satu ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Zolkolnain Singah, ustaz yang kami kagumi, berkenaan mayat seorang lelaki yang berusia 18 tahun di Timur Tengah yang digali semula selepas tiga jam untuk dibedah siasat. Meskipun hanya tiga jam berada dalam liang lahad, mayatnya hampir tidak dikenali.
Rambutnya beruban, mulutnya dipenuhi darah, riak wajahnya ketakutan seolah-olah baru melihat sesuatu yang dahsyat, matanya tersembul keluar, tulang rusuknya patah seolah-olah dipukul oleh sesuatu, badannya dipenuhi darah dan lebam kesan paluan! La haulawala quwwata illa billlah.
Ayahnya memaklumkan apabila ditanya bahawa anaknya itu sepanjang hidupnya tidak pernah solat, minum arak, dan berzina. Lalu terdetik dalam hati sahabat saya andai kata beliau mati, apakah sudah bersedia dengan amalan yang dilakukan?
Adakah auratnya sudah sempurna ditutup?
Perubahan yang dirasakan agak payah tetap dilaksanakan demi kematian yang bakal menjelma. Ya, sahabat sekeliling memandangnya dengan kehairanan. Tetapi, semangatnya utuh.
Di awal tahun tingkatan lima, kami diwajibkan menyertai Kem Jati Diri yang menuntut kami beraksi lasak. Memanjat, berkayak, berenang dalam lumpur, berlari, mengangkat beban, denda kami adalah push up.
Saya terfikir bagaimana sahabat saya yang bertudung labuh itu menghadapi semua ini. Bayangkan dalam lumpur, dengan tudung labuhnya, dia masih kental beraksi. Saya kagum.
Lalu, saya mula mencari sebab kenapa perlu bertudung labuh. Allah S.W.T telah mengilhamkan. Meskipun saya bertudung seperti kebanyakan orang lain, yakni tudung segi tiga yang bagi saya sudah menutup aurat, tetapi saya berasa rimas dan takut untuk berada di hadapan lelaki.
Tudung saya tidak menutup sepenuhnya bahagian belakang. Seolah-olah mereka nampak apa yang sepatutnya mereka tidak nampak. Iaitu tali baju dalam. Maaf kerana agak peribadi. Tetapi ya, saya langsung tidak selamat. Apatah lagi jika memakai baju yang jarang dan nipis.
Satu lagi sebab, meskipun tudung saya melepasi dada, tetapi andai kata angin bertiup kencang, tudung akan terselak lalu dengan mudahnya dada kelihatan. Lalu saya meneliti kakak-kakak yang bertudung labuh, apabila tudung mereka ditiup angin, ia masih tidak menampakkan dada mereka. Kerana tudung itu labuh lalu ia menutupi bahagian sisi dada mereka. Subhanallah.
Ditakdirkan kami sekelas ketika tingkatan lima. Waktu itu saya mula mengubah cara pemakaian tudung sedikit demi sedikit. Daripada tudung bawal ke arah tudung cotton yang tebal.
Kemudian beralih ke tudung bidang 60. Terdetik juga mahu memakai shawl. Pendek kata saya masih mencari identiti. Tetapi di sekolah, saya tetap bertudung segi tiga kecil. Masih belum berani untuk konsisten.
Sehinggalah suatu ketika, entah kenapa, saya tiba-tiba teringatkan tudung labuh saya yang dipakai sewaktu sekolah agama dahulu yang kini hanya terperuk dalam almari. Lalu, saya meminta ibu mengirimkan tudung tersebut kerana saya mahu menjahit tudung labuh saya sendiri.
Bermakna saya mahu memakai tudung labuh. Keinginan itu disuarakan kepada ibu dan kepada sahabat saya tadi. Mereka gembira. Saya mendapat semangat. Lalu proses menjahit siap cuma tinggal mahu memakai ataupun tidak.
Tiba waktu prep, saya meminta roommate menemani saya menuju ke kelas. Alhamdulillah, kami tidak bertembung dengan sesiapa pun waktu itu. Saya selamat tiba ke kelas. Pandangan pertama sahabat sekelas tidak akan dilupakan.
Rasa malu menyelubungi lalu saya menyendiri di satu sudut untuk seketika. Tetapi sahabat sekelas saya ibarat adik-beradik sendiri, mereka berpura-pura tidak perasan akan perubahan itu demi menjaga hati saya. Lalu, prep pun berjalan seperti biasa. Saya tidak rasa janggal lagi.
Bermula dari hari itu, beberapa sahabat juga telah mula bertudung labuh, tetapi kami masih golongan minoriti. Beberapa pelajar lelaki yang mungkin tidak tahu kerap mengusik dengan kata-kata yang lebih kurang, "kaya betul lah korang, banyak duit nak beli kain!""boleh buat sapu lantai lah kalau macam ni", "wei, ustazah, ustazah!".
Ketika kami masih "diusik", Allah S.W.T telah menenangkan hati kami melalui tulisan Fatimah Syarha dalam kolum beliau menerusi majalah Solusi. Masih saya ingat tajuknya "Corat-coret Kisah Tudung Labuh".
Pengalaman Fatimah Syarha bertudung labuh menaikkan lagi semangat kami untuk istiqomah. Lalu, saya dan sahabat terus menfotostat kolum itu dan ditampal ke semua kelas. Sebagai usaha kami membela wanita yang bertudung labuh.
Kelegaan yang amat. Bermula dari hari itu, kami kurang menerima usikan-usikan mereka.
Terima kasih Allah S.W.T kerana memberi ilham kepada Fatimah Syarha untuk menulis tentang tudung labuh. Hebatkan Allah S.W.T!
Kuncinya hanya satu, jika kita berubah kerana manusia, perubahan itu tidak akan kekal. Jika berubah kerana Allah S.W.T, tidak kira banyaknya dugaan, kita akan tetap konsisten. Insya-Allah.
Semoga pengalaman yang biasa ini dapat membantu.

soal jawab solat jumaat..


Kebiasaanya di setengah2 masjid sebelum khutbah jumaat, selalu dipeingatkan supaya jangan berkata2 ketika khatib sedang berkhutbah berdasarkan hadis Rasulullah SAW kalau tak silap saya yang di riwayatkan oleh abu hurairah ra, kerana sia2 lah pahala jumaatnya.

Bagaimana pula dengan orang yang ber"SMS" ketika khatib sedang berkhutbah? Mintak penjelasan dari sheikh2 ahkam ttg perkara ini.

Wassalam


Wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Terima kasih akhi Desaputra. Insyaallah, kami akan cuba menjawab sekadar kemampuan yang ada.

Benar kata akhi Desaputra, memang kita selalu diingatkan (bukan semasa khutbah Jumaat) melalui sebuah Hadith :

عن أبي هريرة أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : " إذا قلت لصاحبك والإمام يخطب يوم الجمعة أنصت فقد لغوت " . رواه البخاري ( 892 ) ومسلم ( 851 ) .

"yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah (r.a), bahawa Nabi saw bersabda : Jika anda berkata kata kepada teman anda [dengan perkataan] "dengar!" sementara Imam sedang membaca Khutbah, anda telah laghw" - Riwayat al-Bukhari #892, Muslim #851.

Hadith ini mengingatkan kita bahawa melalaikan diri semasa khutbah bahkan menegur orang yang lalai (berkata-kata) didalam khutbah pun tidak dibenarkan semasa Imam sedang membaca khutbah. Begitulah adab yang diajar oleh Nabi saw kepada umatnya semasa menghadirkan diri mendengar khutbah Jumaat. Mendengar dengan khusyuk khutbah Jumaat ini adalah dituntut! Para jemaah diseru agar mendengar dengan baik ucapan/khutbah Imam dan mengambil tauladan didalamnya. Cuba kita lihat hadith yang selanjutnya yang lebih keras dari ucapan menegur orang daripada bercakap.

عن أبي الدرداء قال : جلس النبي صلى الله عليه وسلم على المنبر وخطب الناس وتلا آية وإلى جنبي أُبيّ بن كعب فقلت له : يا أُبيّ متى أنزلت هذه الآية ؟ فأبى أن يكلمني ثم سألته فأبى أن يكلمني حتى نزل رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال لي أبيٌّ : مالك من جمعتك إلا ما لغوت ، فلما انصرف رسول الله صلى الله عليه وسلم جئته فأخبرته فقال " صدق أُبيّ إذا سمعت إمامك يتكلم فأنصت حتى يفرغ " . رواه ابن ماجه ( 1111 ) ، وأحمد ( 20780 ) .


"Dari Abu Darda' berkata :"Nabi saw duduk diatas mimbar dan berkhutbah kepada manusia dan membacakan satu ayat. Ubai ibnu Ka'ab yang duduk disebelahku dan aku bertanya :'Ya Ubai, Bila diturunkan ayat tersebut? Beliau ENGGAN menjawab soalanku. Aku bertanyakan mengenai ayat tersebut lagi sekali dan dia tidak melayanku, dan aku bertanya lagi sekali kepadanya dan dia masih enggan bercakap denganku sehinggalah Nabi saw turun dari mimbar. Kemudian Ubai berkata kepadaku ,'Apa yang anda dapat pada hari Jumaat ialah melainkan LAGHW (cakap yang sia-sia)'. Setelah perginya Nabi saw, Aku pergi kepada beliau dan memberitahu apa yang berlaku, dan sabda beliau :'Ubai telah berkata Benar, Jika kamu mendengar Imam berkhutbah, maka dengarlah akan ia sehingga ia selesai" (Riwayat Ibn Majah #1111, Ahmad #20780. Dikelaskan sebagai sahih oleh Al-Busayri dan Sheikh Al-Albani didalam Tamaam Al-Minnah, ms 338)."

Bertanyakan mengenai AYAT pada hari Jumaat pun MEMBATALKAN PAHALA Jumaat, bagaimana pula mereka-mereka yang bercakap-cakap pasal hal dunia, perniagaan, berSMS dan sebagainya semasa Imam sedang berkhutbah?? Sudah tentu kita tahu jawapannya. Cuba kita renungkan baik-baik.

Malahan terdapat situasi dimana sekalipun kita tidak memahami apa yang disampai oleh Khatib (contohnya khatib membaca didalam bahasa asing eg: Arab, Urdu dsb), kita disuruh agar memberikan sahaja tumpuan kepada khatib yang membaca. Dibawah ini kami petik soalan yang dijawab oleh Sheikh Abdul Al-Karim Al-Khudayr[2].
------------------------------------




Soalan:

Saya buat masa ini menetap di Afrika. Maka saya tidak tahu bertutur didalam bahasa mereka disana. Semasa khutbah Jumaat, saya tidak mendapat apa-apa daripadanya. Apakah yang harus saya lakukan ketika khutbah? Bolehkan saya membaca Al-Quran dan berzikir kepada Tuhan atau pun adakah perlu saya duduk mendengar kepada sesuatu yang tidak saya fahami?


Jawab Sheikh Abdul Al-Karim Al-Khudayr :


الحمد لله إن استمعت ولو لم تفهم فأنت على خير إن شاء الله ، ورخص بعض أهل العلم للذي لا يفهم لغة الخطبة أن يتشاغل بالذكر أو القراءة شريطة أن لا يشوّش على غيره ممّن يستمع الخطبة ، والذي أميل إليه أنه عليه الاستماع ولو لم يفهم .

Alhamdulillah. Jika anda mendengarnya, walaupun anda tidak memahami apa-apapun, anda telah melakukan sesuatu yang baik, Insyaallah. Ada juga beberapa ulama' yang memberi keizinan kepada sesiapa yang tidak memahami bahasa khutbah tersebut dibenarkan mengisi masa mereka dengan zikir dan membaca Al-Quran, dengan syarat mereka tidak menganggu orang yang lain yang sedang mendengar Khutbah. Pandangan yang saya pilih ialah anda haruslah mendengar walaupun anda tidak memahaminya.

--------------------------------------------

Bukan setakat bercakap sahaja yang dilarang, membaca al-Quran pun tidak digalakkan. Malah menurut ulama', menjawab SALAM dan mengucap Tashmit keatas orang yang bersin pun tidak dibenarkan semasa Imam sedang berkhutbah. Menurut Fatwa #4769 yang dikeluarkan oleh Al-Lajnah Al-Buhuth Daa'imah[3] (8/242) :

لايجوز تشميت العاطس، ولا رد السلام، والإمام يخطب على الصحيح من أقوال العلماء؛ لأن كلامنهما كلام، وهو ممنوع والإمام يخطب؛


"Tidak dibenarkan menjawab Bersin dan memulangkan Salam, semasa Imam sedang berkhutbah, dan ia sahih dikalangan pendapat Ulama! Sesungguhnya kedua-duanya adalah percakapan, dan ia dilarang semasa Imam sedang berkhutbah"

Adalah sunnah melihat kearah Imam semasa beliau membaca Khutbah. Ini terdapat didalam Hadith berikut :


وعن يحيى بن سعيد الأنصاري قال : ( السنة إذا قعد الإمام على المنبر يوم الجمعة ، يقبل عليه القوم بوجوههم جميعاً )

Telah diriwayatkan bahawa Yahya ibnu Sa'ed Al-An asari berkata : "Adalah sunnah apabila Imam duduk diatas Mimbar pada hari Jumaat untuk semua hadirin memandang kearahnya"


وعن نافع : ( أن ابن عمر كان يفرغ من سبحته بوم الجمعة قبل خروج الإمام ، فإذا خرج لم يقعد الإمام حتى يستقبله )

Diriwayatkan oleh Naafi' bahawa Ibnu Umar menhabiskan tasbihnya sebelum Imam keluar, dan apabila Imam keluar, beliau akan memandang kearah Imam sebelum sempat Imam duduk.

(Al-Abani telah mengumpulkan Hadith-Hadith ini didalam al-Silsilat al-Sahiiah, # 2080)

Menurut Sheikh Abdul Aziz bin Baaz[4] :


فينبغي للمؤمن في الجمعة أن ينصت ويخشع ويحذر العبث بالحصى أو غيره ، وإذا سلم عليه أحد أشار إليه ولم يتكلم ، وإن وضع يده في يده إذا مدها من غير كلام فلا بأس كما تقدم ، ويعلمه بعد انتهاء الخطبة أن هذا لا ينبغي له ، وإنما المشروع له إذا دخل والإمام يخطب أن يصلي ركعتين تحية المسجد ولا يسلم على أحد حتى تنتهي الخطبة ، وإذا عطس فعليه أن يحمد الله في نفسه ولا يرفع صوته .

"Semasa solat Jumaat, orang yang Mu'min hendaklah mendengar Khutbah Jumaat dengan Khusyuk dan Senyap sunyi, dan ia ditegah dari bermain batu di atas tanah atau selainnya. Jika seseorang memberi salam kepadanya, hendaklah ia memberi isyarat dengan menggunakan isyarat tanpa bercakap. Jika ia meletakkan tangan untuk bersalam, tanpa bercakap, ia dibenarkan. Dia harus memberitahunya selepas Khutbah bahawa dia tidak boleh melakukan perkara tersebut, sesungguhnya dibolehkan kepada seseorang yang masuk masjid semasa Imam sedang berkhutbah untuk menunaikan 2 rakaat Tahiyat Al-Masjid, dan tidak memberi salam kepada sesiapa sehingga khutbah selesai., dan jika dia bersin, maka pujilah Allah (Alhamdulillah) untuk dirinya sendiri dan tidak menaikkan suaranya".

Jelas fatwa dari Sheikh Abdul Aziz bin Baaz yang sekali gus menjawab soalan yang anda nyatakan itu, maka "Adalah dikatakan telah lalai Jumaat seseorang itu jika semasa Imam sedang berkhutbah, ia sibuk menghantar mesej SMS melalui handphone". Bayangkanlah, bertanyakan mengenai ayat, menjawab bersin, menjawab salam yang selama ini sunnat, tidak digalakkan semasa khutbah, inikan pula menghantar SMS!. Ibnu Baaz mengatakan, sehingga mereka yang bemain-main dengan batu ditangan (handphone ke, GameBoy ke, PDA ke)semasa Imam berkhutbah pun ditegah, maka sudah tentu selain dari mendengar Khutbah dengan khusyuk, perkara-perkara lain adalah dilarang (secara umumnya).

http://qasolatjemaah.blogspot.com

tudung saya itu lah peribadi saya.....maknanya org yg tak pakai tudung tu....?

Enam tahun yang lepas wartawan Lauren Booth ke Palestin membawa bersamanya, seperti yang diakuinya sendiri, sikap memandang rendah orang lain.
Beliau beranggapan orang Arab adalah penakut, dan bersimpati dengan wanita yang memakai hijab, niqab dan burqa. Beliau menganggap golongan ini kurang senang dengan tradisi sendiri.
Tetapi hari ini Booth, yang juga merupakan penyiar dan aktivis hak asasi manusia, memperjuang secara aktif nasib orang Palestin – dengan berhijab.
"Saya ke Palestin dengan tanggapan bahawa wanita berhijab perlu diselamatkan daripada nasib malang mereka, suami dan penindasan. Saya bukan berniat merendahkan sesiapa tetapi inilah yang kami diajar di Barat."
Bagaimanapun, pengalaman beliau di Palestin membuktikan sebaliknya. Sikap besar hati serta kemuliaan yang ditunjukkan kepadanya oleh orang Palestin, walaupun mereka hidup serba daif, menyangkal apa yang dipercayainya selama ini – yang rantau mereka adalah paling ganas di dunia.
"Ia sesuatu yang mengejutkan bagi saya," katanya kepada Bernama dalam temubual eksklusif semasa lawatanya ke Malaysia, baru-baru ini.
"Di sebalik hijab dan burqa, terdapat perkara-perkara yang saya tidak jangka - kemesraan, kelucuan dan sikap berdikari."
Selepas bekerja dengan masyarakat Islam di Asia Barat selama lima tahun, beliau muncul sebagai penyokong kuat perjuangan rakyat Palestin.
Beliau berada di Malaysia sebagai penceramah undangan bagi Viva Palestina Malaysia, satu daripada cabang Viva Palestina di UK, sebuah pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa yang berusaha untuk mewujudkan dengan cepat sebuah negara Palestin yang bebas.
Booth memeluk Islam pada September 2010, dan mengumumkannya sebulan kemudian.
Warga Britain berusia 43 tahun ini berkata beliau memeluk Islam kerana pengalaman spiritual yang dialaminya semasa mengunjungi pusat ibadah  Fatima al-Masumeh di bandar raya Qom, Iran.
"Saya sebenarnya tidak memikirkan untuk memeluk Islam. Pengalaman spiritual yang saya alami ini tidak dapat dijelaskan dan memberikan saya kebahagiaan dan ketenangan jiwa," kata beliau dalam satu temu bual bersama rangkaian berita Iran - Press TV – di mana beliau sedang bertugas sekarang ini.
Reaksi Media Kerana Memeluk Islam
Booth berkata langkah beliau memeluk Islam bukan satu kejutan kepada ramai. Selama bertahun-tahun beliau lantang menyuarakan isu berkaitan dengan rakyat Palestin dan rakan-rakan Islam semakin dekat dengan hatinya. Bagaimanapun, katanya tersenyum, ada yang 'berpura-pura terkejut' di dalam media.
Beliau percaya pihak tertentu dalam media Britain terbabit dengan kempen untuk mencemarkan nama baiknya selepas sahaja mengumumkan yang beliau kini beragama Islam.
Sebagai ipar kepada bekas perdana menteri Britain Tony Blair tindakan beliau itu dengan mudah mengundang kritikan.
"Adalah menarik untuk melihat betapa cepat media Britain mempersenda segala yang saya telah buat (sebelum memeluk Islam). Ia menunjukkan jurang besar dan rasa takut akan apa yang dilihat tidak diketahui wujud pada masyarakat Barat.
"Seorang wanita berpendidikan, seorang ibu, seorang petugas media selama 20 tahun terus dikecam selepas sahaja melafazkan syahadah dan memakai hijab di khalayak umum, dengan dakwaan sinis yang beliau mengalami kemurungan, krisis pertengahan hayat atau terdesak untuk sesuatu," katanya.
Booth berkata sekularisme begitu kuat dalam kalangan masyarakat Barat yang tidak dapat menerima kewujudan Tuhan yang maha esa.
Malangnya, kata Booth, pihak tertentu di dalam dunia media "melakukan tugas yang begitu baik" sehingga ramai warga Britain tidak akan membacanya tanpa rasa kasihan, meluat atau keraguan.
Reaksi Bercampur Daripada Rakan dan Keluarga
Sementara itu, rakan-rakannya pula lebih bersimpati.
"Tetapi saya rasa ada juga yang kecewa kerana kehilangan seorang rakan minum arak. Mereka tidak tahu untuk bersosial dengan minum teh kerana kita telah kehilangan kemahiran itu di dunia Barat," katanya berseloroh.
Reaksi daripada keluarganya pula bercampur.
Sementara beliau tidak banyak mengulas akan reaksi bapanya berhubung tindakan beliau memeluk Islam, kerana beliau tidak banyak berhubung dengan enam orang anak perempuannya, laporan media UK menunjukkan dengan jelas reaksi ayahnya, seorang pelakon Tony Booth.
Beliau memberi reaksi negatif kepada tindakan anaknya memeluk Islam dengan berkata anaknya itu langsung tidak berminat dengan agama dan meragui keikhlasannya dalam memeluk Islam.
Sebaliknya ibunya sebak gembira apabila mendapat tahu yang anaknya mengalami ketenangan jiwa.
Walaupun segala keraguan yang timbul dalam kalangan keluarga, beliau berkata keluarganya memahami keputusannya itu. Adik bongsunya menyediakan ayam belanda halal bagi Krismas.
Dua orang anak perempuannya, sementara itu, sentiasa melihat Islam dari sudut positif.
"Apabila saya memaklumkan kepada mereka yang saya kini beragama Islam, mereka ajukan tiga soalan : sama ada saya akan melupakan alkohol, rokok dan menutup lurah dada? Apabila saya berkata ya kepada ketiga-tiganya, mereka mengisytiharkan: Yay! Kami cintakan Islam," katanya tertawa.
Timbul juga persoalan, bagaimana beliau menunjukkan reaksi kepada fitnah, ulasan negatif dan kritikan? Booth berkata tidak banyak yang beliau dapat lakukan kecuali menerima segala—galanya dan teruskan dengan kehidupan.
Hijab Adalah Jenama
Berhijab biru, dan memakai blaus bertalipinggang serta seluar yang longgar, Booth mendedahkan pengalamnan pahit-manisnya dalam memeluk Islam dengan senyuman, satu aksesori yang dianggapnya penting bagi setiap wanita berhijab.
"Orang ramai berpendapat wanita Islam berhijab dirundung masalah hidup kerana apabila anda melihat mereka di stesen kereta api bawah tanah London, mereka sentiasa kelihatan berwajah 'perang'. Inilah wajah yang mereka tampilkan dalam berdepan dengan apa sahaja diskriminasi yang mereka takuti.
"Tetapi di Barat, hijab adalah jenama anda. Jika anda tidak senang hati di khalayak umum orang ramai mungkin berpendapat anda dipukul oleh suami atau ayah anda membenci anda. Jadi, sentiasa senyum ," katanya.
Ramai wanita berhijab di London telah tampil bertemu Booth selepas menyaksikan kisah beliau melalui YouTube.
Gadis-gadis, seawal 12 tahun, memberitahunya akan masalah yang mereka alami setiap hari kerana menutup aurat mereka.
"Mereka memberitahu saya yang budak lelaki melihat mereka sebagai pengganas dan gadis lain pula beranggapan mereka ini bodoh tetapi selepas melihat saya begitu yakin dalam hijab, mereka juga berasa bangga tentang diri mereka," kata Booth.
Keluhan gadis-gadis ini membawa inspirasi kepada Booth untuk mencari idea bagi "hijab flashmob" wanita. "Saya mahu menyertai wanita muda berbakat dan mencari cara-cara imaginatif untuk memaklumkan kepada bukan Islam yang kami bukan sahaja mahu diterima; kami berada di sini, kami hidup dalam masyarakat madani, terimalah kami dan biarlah kami menjadi sebahagian daripada komuniti bersama."
Beliau menyambut baik idea-idea melalui e-mel di lauren.toirac@gmail.com.
Ciri asas di UK ialah tolak ansur, katanya. Tetapi sebagai wanita Islam, Booth berkata beliau bukan hanya mahu diterima atas dasar toleransi.
"Anda boleh menahan rasa sakit kepala. Anda boleh tahan bau busuk. Saya tidak mahu menjadi punca sakit kepala dan bau busuk kepada pihak lain. Jadi apa yang kita perlukan ialah penerimaan dan kesaksamaan."

Monday, December 12, 2011

jalan untuk aku couple sah dengan dia................

Permudahkan Nikah Cegah Penzinaan

1. Sedang pelbagai pihak seperti buntu mencari penyelesaian kepada barah sosial yang menjurus kepada pergaulan dan seks bebas [ zina ] serta rogol dan buang bayi berleluasa pada hari ini , Dewan Pemuda PAS menyarankan satu program atau projek besar iaitu " 
Taysir az Ziwaj " dilaksanakan , khasnya oleh pihak berwajib.

2. 
Taysir Az Ziwaj ialah " Permudahkan Proses Perkahwinan " terutama kepada anak - anak muda yang tidak berkemampuan dari segi material untuk mendirikan rumahtangga tetapi dalam masa yang sama mempunyai keinginan yang tinggi untuk hidup berpasangan .

3. Islam adalah agama yang penuh dengan rahmah dan berkah. Ia diutuskan oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia bukan untuk menghalang atau menidakkan keperluan manusia seperti keinginan [ nafsu ] syahwah dan sebagainya tetapi Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia agar melunas keinginannya secara yang betul , benar dan baik .

4. Gejala seks bebas [ zina ] dan rogol adalah angkara nafsu yang tidak terkawal dan ia disalurkan secara tidak betul , tidak benar dan membawa keburukan kepada diri dan orang lain . Sedang Islam menggalakkan perkahwinan [ aqad nikah ] agar hati manusia tenteram dan tenang serta nafsu dapat dikawal . Ini membawa kebaikan kepada semua ummat manusia .ala

Firman Allah swt yang bermaksud :

dan kahwinkanlah orang - orang bujang [ lelaki dan perempuan ] dari kalangan kamu dan orang - orang yang soleh dari hamba - hamba kamu , lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin , Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah swt Maha Luas rahmat dan kurniaNya lagi Maha Mengetahui .

An Nuur : Ayat 32

5. Perkahwinan yang digalakkan oleh Islam ini sewajarnya dipermudahkan prosesnya agar generasi muda negara tidak liar dan kemaruk nafsu lalu terjebak dalam kancah seks bebas [ zina ]. Memudahkan prosesnya boleh dilakukan oleh pihak berwajib [kerajaan] seperti [ sekadar menyebut beberapa contoh ] :

·         Memberi peruntukan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin
·         Memberi insentif sebagai galakan berkahwin
·         Mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan
·         Kursus dan khidmat bimbingan perkahwinan secara percuma
·         Menganjurkan perkahwinan beramai - ramai yang menjimatkan
·         Mendidik masyarakat dengan budaya sederhana dalam majlis perkahwinan
·         Merendahkan hantaran perkahwinan
6. Antara kaedah mempermudahkan proses perkahwinan ini ialah Nikah Khitbah atau dalam bahasa mudah disebut oleh masyarakat kita sebagai Nikah Gantung . Nikah Khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang mempunyai 5 rukunnya iaitu :


·         Suami
·         Isteri
·         Wali
·         Saksi
·         Aqad [ Ijab Qabul ]
cuma bezanya ialah pasangan pengantin [ suami isteri ] tidak tinggal serumah dalam tempoh - tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti [sekadar menyebut beberapa contoh] :

·         Masih menuntut di kolej atau uniersiti
·         Tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah
·         Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga
justeru itu , buat tempoh tertentu pasangan suami isteri yang telah dinikahkan itu tinggal berasingan [ atas persetujuan bersama kedua - dua pihak ] dan barangkali tinggal bersama keluarga masing sehinggalah mereka merasakan segala halangan diatas telah selesai dan mereka benar - benar bersedia mengharungi kehidupan berumahtangga yang besar tanggungjawabnya.

7. Kelebihan Nikah Gantung ini ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang - undang negara . Andai dalam tempoh itu mereka bertemu , keluar makan , dating , study bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks , 
maka apa yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram .

8. Andai berlaku kehamilan , maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab [ keturunan ] . Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga kerana keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah .

9. Kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata - ratanya adalah ekoran rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu dan hilang maruah dari pasangan terbabit. Malah mereka juga takut untuk kembali kepangkuan keluarga justeru mereka mengetahui bahawa hubungan mereka salah dan mereka hamil hasil hubungan terlarang . Ia memalukan keluarga dan mencemarkan maruah bangsa dan agama . Akhirnya , jalan pintas dan terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi tersebut dengan harapan selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa mereka menyedari bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial negara .

10. Sebenarnya 
Nikah Khitbah ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab . Menurut amalan tersebut , sewaktu majlis pertunangan , ia dilangsungkan sekali dengan majlis aqad nikah [ halflun nikah ] tetapi mempelai tidak boleh tinggal sekali [serumah] sehingga berlangsungnya pula majlis perkahwinan [haflul Qiran] . Terkadang tempoh itu [ antara pertunangan dan perkahwinan menjangkau tahun lamanya.]

11. Dalam masyarakat Melayu , amalan ini sebenarnya pernah diamalkan sebelum ini dengan nama Nikah Gantung . Ia pernah di kaji oleh beberapa Anthropologist seperti Paletz , Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan Nikah Gantung sebagai "Suspended Marriage Contract" iaitu satu fenomena sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia tenggara .

12. Malah menurut Abdul Jalil Borhan , perkara yang berkaitan dengan Nikah Gantung terdapat dalam seksyen 112 [dalam bahagian 5] enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor.



Perbahasan Hukum

13. Salah satu dalil yang digunakan oleh sebahagian para alim ulama' ialah Perkahwinan Rasulullah saw dengan Aishah rha. menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim , Rasulullah saw telah mengahwini Aishah ketika berumur 6 tahun dan hanya duduk serumah ketika Aishah berumur 9 tahun . Hadis ini menjadi dalil berlakunya aqad nikah , maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah terutama atas persetujuan kedua pihak untuk beberapa tempoh yang dipersetujui.

14. Apabila pasangan pengantin [ nikah gantung ] bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi , maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin [ jima' \ bersetubuh ] . Apa yang timbul ialah perbahasan dari segi nafkah zahir [ material ] . Berkait perkara ini , kita mempunyai beberapa pandangan :

a] Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini [ nafkah zahir ] wajib dengan berlakunya aqad , maka selepas sahaja aqad nikah , suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya .

b] Pandangan Jumhur ulama' iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat - syarat tertentu seperti isteri menyerahkan diri kepada suami [ berpindah ke tempat suami ] , boleh melakukan istimta' [ mengambil keseronokan] , jima' [ bersetubuh ] , isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya .

15. Nikah khitbah dapat disimpulkan bahawa : bebanan nafkah itu tidak diwajibkan ke atas suami sekiranya kehidupan biasa suami isteri belum berlaku . Bagaimanapun sekiranya suami isteri tersebut keluar bersama , maka tiada halangan dari segi hukum syara' kerana mereka adalah suami isteri yang sah. Demikian juga andai berlaku kehamilan maka bayi itu sah dan mereka boleh menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa yang sah. Tidak perlulah mereka melarikan diri , buang bayi dan menggugurkan bayi atau membunuhnya .

16. Tegasnya saya sebutkan disini , terutama kepada pihak berkuasa agama , ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat termasuk anak - anak muda agar mereka kembali kepada cara hidup Islam . Walaupun nikah gantung ini kelihatan seperti baru dalam negara kita bagi sesetengah pihak , tetapi ia lebih baik dari kita membiarkan anak - anak gadis dan teruna kita berpeleseran , bergaul bebas lalu akhirnya mereka terjebak dalam kancah seks bebas dan penzinaan yang memalukan . Bukan sahaja maruah keluarga dan agama tercalar , 
murka Allah swt itulah yang paling ditakuti .